Jul 16, 2026 - FASSelangor FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain tengah dari Sydney, Australia, Peter Makrillos, sebagai pemain import ketiga dan pemain baharu keenam Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Peter mengharungi karier profesional di beberapa negara termasuk England, Australia, Greece, Finland, Hungary, Denmark, Sweden dan Republik Korea. Musim lalu, beliau beraksi dalam V.League 1 Vietnam bersama Cong An Ho Chi Minh City FC. Pengalaman luas yang dimiliki dijangka mampu memperkukuhkan pasukan, khususnya menerusi peranan sebagai pemain tengah box-to-box yang berupaya membantu dalam aspek pertahanan dan serangan.
Mengalu-alukan kehadiran beliau, Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, yakin corak permainan box-to-box Peter mampu memperkukuhkan jentera tengah pasukan, di samping memberikan ancaman di bahagian serangan.
"Saya memang mencari seorang pemain seperti Peter. Beliau bukan sahaja mampu beraksi sebagai pemain box-to-box, malah turut berupaya menyumbang jaringan gol. Saya yakin kehadirannya akan menambah kekuatan pasukan dalam menghadapi musim ini."
Pemain berusia 31 tahun itu turut meluahkan keterujaannya untuk menyarung jersi Selangor FC dan bersedia menghadapi segala cabaran serta tekanan yang hadir bersama kelab sebesar Gergasi Merah.
"Saya sentiasa mengenali Selangor FC dan tahu kelab ini merupakan salah sebuah pasukan ternama di Malaysia serta Asia. Saya juga sentiasa bercita-cita untuk beraksi bersama salah sebuah kelab terbaik di Asia. Apabila peluang ini hadir, saya tahu inilah langkah yang tepat. Saya juga sedar Selangor FC hadir dengan harapan yang tinggi, namun saya sukakan tekanan kerana bagi saya, itulah bola sepak."
Beliau turut menyatakan hasrat untuk membantu pasukan kembali ke puncak dan tidak sabar beraksi di hadapan penyokong Gergasi Merah.
"Harapan peribadi saya adalah untuk membantu pasukan mencapai sasaran musim ini. Saya mahu memainkan peranan dalam membawa skuad Gergasi Merah kembali ke puncak. Saya sudah bersedia untuk berjuang demi kelab dan tidak sabar untuk berjumpa dengan para penyokong di stadium. Teruskan memberikan sokongan kepada kami, dan ayuh capai pencapaian yang lebih besar musim ini bersama-sama."
Kehadiran Peter Makrillos diyakini mampu memperkukuhkan jentera tengah Selangor FC dalam usaha kelab memburu kejuaraan di pentas domestik dan Asia.
Selamat datang ke keluarga Gergasi Merah, Peter Makrillos.
Demi Kebanggaan!